FASHA SANDHA
Dalam Instagram peribadinya @fashasandha, pelakon berusia 32 tahun itu meninggalkan kata-kata sinis yang menggambarkan kekecewaannya lantaran penafian bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai, 40, yang menyifatkan tuduhan pelakon itu sebagai sesuatu yang tidak berasas.
“Jangan cuba untuk meni­dakkan perkara yang tetap salah daripada hukuman dan undang-undang. Sekiranya ‘berjaya’ menggunakan pangkat dan darjat untuk perkara yang semestinya salah, maka beringatlah, Allah ada,” tegas Fasha.
Sehingga pukul 7 ma­lam ini, seramai 141 pengikut pelakon itu meninggalkan komen memberi kata-kata pe­rangsang kepadanya sementara 4,315 pengikut lain pula meletakkan tanda like pada kapsyen yang turut memuatkan foto dua buah rumah berbeza darjat dan liang lahad.
Dalam kapsyen yang sama, Fasha turut mengingatkan bahawa sekalipun manusia dibezakan de­ngan taraf hidup masing-masing, namun hakikatnya, semua orang tetap sama apabila dipanggil menghadap Allah.
“Jangan lupa, kaya atau miskin, tetap masuk kubur yang sama, tiada bezanya. Jadi jangan lupa, negara ada undang-undang tak ki­ra untuk yang kaya mahupun miskin. Ka­ya, pangkat darjat sekalipun, kalau salah, tetap salah,” katanya.
Isnin lalu, Fasha membuat laporan di Balai Polis Ampang mendakwa Jejai sering menceroboh kediaman dan mengganggu kehidupannya selepas bercerai pada 20 Januari lalu.
Semalam, Jejai menafikan dakwaan bekas isterinya itu dan me­negaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang memalukan dirinya serta meminta pihak berkuasa menyiasat sepenuhnya dakwaan tersebut.
Fasha juga dilihat memuat naik status tunggu dan lihat beberapa jam kemudian dengan menulis kapsyen kebenaran akan muncul juga akhirnya seolah-olah menggambarkan dirinya tenang dalam menghadapi kemelut tersebut.
Perkahwinan Fasha dan Jejai yang dibina pada 27 April 2012, dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 3, dan Putri Raysha Jemyma yang berusia dua tahun.